TINTA BERKATA

Kugerakkan jemariku menaip sesuatu, untuk hidangan fikiran para tetamu, diharapkan dapat berkongsi sedikit ilmu, untuk mengisi masa senggangmu.

Thursday, June 10, 2010

Kosa Kata Menarik 1

1. Pada masa ini, Kini, Dewasa ini, Marcapada ini, Pada era ini, Pada zaman ini,
2. Pada zaman teknolgi maklumat dan komunikasi ini, Pada era ledakan maklumat ini,
Pada zaman globalisasi ini,
3. faktor, punca, sebab, alasan
4. kebaikan, kesan baik, kesan positif, manfaat, faedah, kelebihan, keistimewaan,
kepentingan
5. keburukan, kesan buruk, kesan negatif, implikasi negatif, natijah
6. cara, usaha, kaedah, strategi, prakarsa,
7. mengatasi, menangani, membendung, membasmi
8. mencegah, mengelakkan,
9. walaupun, meskipun, kendatipun,
10. Kesimpulannya, Konklusinya, Tuntasnya, Intihanya, Akhir kalam,

Wednesday, June 9, 2010

Amalan Membaca


Kunci utama kita memperoleh sumber ilmu adalah dengan membaca. Justeru, kita perlu membaca untuk mengetahui pelbagai perkara yang berlaku di dalam negara mahupun di luar negara. Lantaran kepentingan membaca dalam meluaskan ilmu pengetahuan, kita perlu menjadikan membaca sebagai satu amalan yang berterusan.

Kerajaan mengadakan pelbagai prakarsa untuk memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat. Usaha ini termasuklah menjalankan kempen membaca. Untuk menempuh zaman yang sangat mencabar ini, masyarakat wajarlah lebih prihatin serta berinovasi dalam usaha memiliki dan menguasai pelbagai bidang ilmu kerana ilmu yang dikuasai membolehkan kita berdaya saing dengan masyarakat luar dalam kehidupan era globalisasi.

Isu yang menjadi persoalan sekarang pelajar sekolah hanya membaca untuk lulus peperiksaan semata-mata. Kita tidak dapat nafikan bahawa tabiat ini memang baik untuk masa depan mereka, namun alangkah baiknya jika mereka terus membaca. pemikiran mereka akan menjadi lebih luas melalui pelbagai bahan bacaan bermutu.

Membaca merupakan aktiviti yang mudah diaplikasikan kerana kita boleh membaca walau di mana sahaja kita berada. Walau bagaimanapun, pemilihan bahan bacaan juga penting. Bahan bacaan yang berkualiti akan membantu mematangkan diri kita seterusnya menjadikan kita lebih berilmu dalam menguruskan diri sendiri melayari kehidupan

Adab Berguru


BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Bait-bait sajak oleh Sasterawan Negara di atas sangat menyentuh perasaan bagi insan yang berusaha memahaminya. Sememangnya jasa guru membolehkan lahirnya insan yang berguna. Sekiranya insan yang dididik itu gagal dalam kehidupannya, bukanlah berpunca daripada didikan guru tetapi kerana nafsu dan akalnya sendiri yang tidak dapat mengawal. Orang yang bergelarnya guru itu pasti akan mengajar ilmu yang berguna untuk dimanfaatkan anak didiknya.

Namun, hari ini segelintir orang yang berjaya sudah melupakan jasa dan adab berguru. Tiada lagi ucapan terima kasih guru apabila diwawancara oleh pemberita tetapi hanya menyatakan kejayaan yang diperoleh hasil titik peluh sendiri dan sokongan moral ibu bapa.

Penulis merasakan adab berguru makin longgar dalam kalangan pelajar. Jika zaman persekolahan dahulu penulis dan mungkin anda akan menolong mengangkat buku guru yang sarat dibawa mereka tetapi hari ini pelajar terkebil-kebil memandang guru mengangkat buku bagai berat mata memandang berat lagi bahu guru yang memikul. Bukan sekali dua, tetapi banyak kali berlaku kepada penulis dan rakan guru yang lain. Kecil hati guru... Namun, langkah ke kelas terus dihayunkan. Berfikir positif, ada pelajar lain yang sudi membantu. Pandang-pandang, jeling-jeling, jika ada pelajar yang sudi membantu mengangkat buku, tetapi semuanya lari bagai nampak hantu.

Guru perlu berbuat sesuatu, ingat-ingatkan pelajar tentang keberkatan dalam menimba ilmu. Bapa dan ibu juga perlu ambil tahu, nasihatkan anakmu itu tentang jasa dan adab berguru. Moga hari-hari anakmu tidak akan layu....

Sekian, wassalam...


Senarai Peribahasa Berkaitan Berhati-hati/Teliti/Berjimat cermat yang boleh diaplikasikan dalam penulisan karangan Bahasa Melayu


Berhati-hati/Teliti/Berjimat cermat
  1. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya> Orang pendiam jangan disangka bodoh atau penakut
  2. Alah membeli, menang memakai> Biarlah barang yang dibeli mahal asalkan tahan lama
  3. Biar lambat asalkan selamat> Melakukan sesuatu dengan berhati-hati agar hasilnya baik
  4. Mengukur baju di badan sendiri> Berbelanja mengikut kemampuan sendiri
  5. Sediakan payung sebelum hujan> Berjaga-jaga sebelum ditimpa bencana
  6. Berkata siang lihat-lihat, berkata malam dengar-dengar> Seseorang itu perlu berhati-hati apabila berbicara tentang sesuatu perkara
  7. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya> Berhati-hati bercakap dikhuatiri boleh menyinggung perasaan orang lain
  8. Ikat perut> Mengurangkan makan kerana daif
  9. Cencaru makan petang> Pekerjaan yang lambat tetapi mendatangkan hasil yang baik
  10. Daripada segenggam jadi segantang> Daripada sedikit lama-lama jadi banyak dengan usaha

Memanfaatkan Masa Cuti Anda


Assalamualaikum w.b.k.t.

Alhamdulillah, cuti persekolahan telah bermula. Sudah lebih kurang lima hari bercuti. Bagi pelajar-pelajar tentunya cuti sekolah dua minggu ini merupakan waktu yang ditunggu-tunggu setelah berhempas pulas menimba ilmu. Bagi tenaga pendidik, cuti sekolah merupakan satu bonus dalam profesion perguruan setelah bertungkus-lumus mencurahkan ilmu. Apatah lagi dalam peredaran masa sekarang, dunia pendidikan menuntut yang terbaik daripada warga pendidik untuk menjana modal insan gemilang.

Cuti sekolah seharusnya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Pada kesempatan ini, kita boleh mengisi dengan aktiviti yang tidak dapat kita lakukan dengan baik sebelum ini. Antaranya mengaktifkan semula hobi kita yang tergendala dek kekangan waktu dahulu. Program bersama keluarga adalah satu perkara yang boleh dijadikan prioriti aktiviti semasa cuti. Kunjungan ke destinasi pilihan boleh dijadikan agenda. Jika kekangan wang membatasi, program bersama keluarga masih boleh diwujudkan misalnya beriadah ataupun menonton rancangan kegemaran bersama.

Tidak kira siapapun anda, masa cuti hendaklah dimanfaatkan sebaik-baiknya setidak-tidanya anda kembali bersemangat waja apabila cuti tamat dan sesi persekolahan bermula.

Selamat bercuti. Wassalam...