TINTA BERKATA

Kugerakkan jemariku menaip sesuatu, untuk hidangan fikiran para tetamu, diharapkan dapat berkongsi sedikit ilmu, untuk mengisi masa senggangmu.

Wednesday, June 9, 2010

Adab Berguru


BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Bait-bait sajak oleh Sasterawan Negara di atas sangat menyentuh perasaan bagi insan yang berusaha memahaminya. Sememangnya jasa guru membolehkan lahirnya insan yang berguna. Sekiranya insan yang dididik itu gagal dalam kehidupannya, bukanlah berpunca daripada didikan guru tetapi kerana nafsu dan akalnya sendiri yang tidak dapat mengawal. Orang yang bergelarnya guru itu pasti akan mengajar ilmu yang berguna untuk dimanfaatkan anak didiknya.

Namun, hari ini segelintir orang yang berjaya sudah melupakan jasa dan adab berguru. Tiada lagi ucapan terima kasih guru apabila diwawancara oleh pemberita tetapi hanya menyatakan kejayaan yang diperoleh hasil titik peluh sendiri dan sokongan moral ibu bapa.

Penulis merasakan adab berguru makin longgar dalam kalangan pelajar. Jika zaman persekolahan dahulu penulis dan mungkin anda akan menolong mengangkat buku guru yang sarat dibawa mereka tetapi hari ini pelajar terkebil-kebil memandang guru mengangkat buku bagai berat mata memandang berat lagi bahu guru yang memikul. Bukan sekali dua, tetapi banyak kali berlaku kepada penulis dan rakan guru yang lain. Kecil hati guru... Namun, langkah ke kelas terus dihayunkan. Berfikir positif, ada pelajar lain yang sudi membantu. Pandang-pandang, jeling-jeling, jika ada pelajar yang sudi membantu mengangkat buku, tetapi semuanya lari bagai nampak hantu.

Guru perlu berbuat sesuatu, ingat-ingatkan pelajar tentang keberkatan dalam menimba ilmu. Bapa dan ibu juga perlu ambil tahu, nasihatkan anakmu itu tentang jasa dan adab berguru. Moga hari-hari anakmu tidak akan layu....

Sekian, wassalam...


No comments:

Post a Comment